Search

Sambutan Aidilfitri Radicare 2026

Sambutan Aidilfitri Radicare 2026:
Menghargai Kesetiaan, Meraikan Kecemerlangan

Sambutan Aidilfitri Radicare 2026:
Menghargai Kesetiaan, Meraikan Kecemerlangan

KUALA LUMPUR, 14 April 2026 – Dalam semangat Syawal yang penuh keberkatan, Radicare (M) Sdn. Bhd. telah menganjurkan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026 bertempat di Grand Ballroom, Seri Pacific Hotel Kuala Lumpur. Majlis yang berlangsung meriah ini menghimpunkan warga kerja Radicare dan anak syarikat, rakan strategik, pelanggan, tetamu kehormat serta wakil daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dalam suasana penuh kemesraan dan penghargaan.

Lebih daripada sekadar sambutan Aidilfitri, majlis ini menjadi platform untuk menghargai sumbangan warga kerja, memperkukuh hubungan strategik serta meraikan pelbagai pencapaian yang mencerminkan komitmen berterusan Radicare terhadap kecemerlangan organisasi dan penyampaian perkhidmatan. Selaras dengan nilai kebersamaan yang menjadi teras organisasi, sambutan ini turut mengukuhkan semangat kekeluargaan yang telah lama menjadi tunjang kekuatan warga Radicare.

Majlis turut menyaksikan satu detik penting apabila Radicare melancarkan baju korporat baharu untuk warga kerja Radicare dan anak syarikat. Pelancaran ini melambangkan identiti korporat yang lebih segar, profesional dan dinamik selaras dengan aspirasi syarikat untuk terus berkembang sebagai peneraju perkhidmatan sokongan hospital yang berprestasi tinggi serta mengekalkan penyampaian perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan.

Selain itu, majlis turut memberi penghormatan kepada seramai 16 Radistars yang telah berkhidmat selama 30 tahun bersama Radicare sejak tahun 1996 menerusi penyampaian Anugerah Perkhidmatan Setia 30 Tahun. Sebagai simbol penghargaan yang istimewa, kesemua penerima telah menerima jam tangan Tissot eksklusif yang diukir dengan logo Radicare, sekali gus menjadikan pengiktirafan tersebut lebih bermakna sebagai tanda penghargaan atas kesetiaan, dedikasi dan komitmen mereka sepanjang tiga dekad bersama organisasi.

Penghargaan turut diberikan kepada Radistars yang telah mencapai tempoh perkhidmatan 25 tahun, 20 tahun dan 10 tahun, sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan berterusan mereka dalam menyokong pertumbuhan dan kejayaan Radicare selama ini.

Dalam usaha memperkukuh budaya kelestarian dan kecekapan operasi, buat julung kalinya Anugerah Penjimatan Penggunaan Tenaga Elektrik telah diperkenalkan bagi mengiktiraf cawangan dan anak syarikat yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pengurusan penggunaan tenaga elektrik. Penerima anugerah mengikut kategori adalah seperti berikut:

  • Kategori Commercial Building – Radifems Sdn. Bhd.
  • Kategori State/Major Specialist Hospital – Cawangan Kemaman
  • Kategori Plant/Workshop – Clinwaste (M) Sdn. Bhd.
  • Kategori Minor Specialist/Non-Specialist Hospital/Institution – Cawangan Hulu Terengganu

Pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan Radicare dalam menerapkan amalan kelestarian serta menyokong agenda kecekapan tenaga di seluruh operasi syarikat.

Majlis yang berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan dan sederhana turut diserikan dengan persembahan istimewa daripada kumpulan Mata Jingga yang berjaya menghiburkan para tetamu serta menambahkan lagi kemesraan sambutan Aidilfitri tahun ini.

Secara keseluruhannya, Sambutan Hari Raya Aidilfitri Radicare 2026 bukan sahaja menjadi platform meraikan Syawal, malah turut menjadi medan untuk menghargai warga kerja, mengiktiraf kesetiaan dan kecemerlangan, serta memperkukuh hubungan yang telah terjalin antara Radicare, pelanggan dan rakan strategik dalam menyokong aspirasi organisasi ke arah kejayaan yang mampan.