Merafak sembah dan menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj, Sultan Selangor dan Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor berangkat mencemar duli dan seterusnya merasmikan Majlis Perasmian dan Penjenamaan semula Hospital Serdang kepada Hospital Sultan Idris Shah pada 8hb Mei 2023 yang lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Radicare, Puan Hajah Halwah Binti Abdul Manaf, Ketua Pegawai Operasi Radicare, Encik Hidaya Bin Yahaya dan Pengurus Besar Negeri Selangor, Encik Abdul Aziz Bin Jumri menghadiri majlis yang penuh bersejarah ini. Turut Hadir ialah YBhg. Datuk Dr. Muhammad Radzi Bin Abu Hassan, Ketua Pengarah Kesihatan KKM, Timbalan Ketua Setiausaha (Kewangan) KKM, Pengarah Kesihatan Negeri Selangor dan Pengarah Hospital Serdang.

 

Hospital Serdang telah memulakan operasi pada Mei 2005 dengan kapasiti sebanyak 668 buah katil dengan perkhidmatan pertama kepakaran Nefrologi. Kini Hospital Sultan Idris Shah mempunyai 22 kepakaran dan merupakan rujukan utama perubatan swasta dan juga tempat rujukan perkhidmatan kesihatan jantung kerajaan seluruh negara.

 

Radicare akan terus memberi perkhidmatan yang cemerlang dan akan sentiasa memberikan kerjasama bagi memastikan perkhidmatan sokongan hospital di Hospital Sultan Idris Shah diuruskan dengan jayanya.