Pada 25hb November 2019, sebuah Majlis Pelancaran BEMS Competency Handbook & Penganugerahan Sijil Kompetensi anjuran bersama Seksyen Operasi Biomedikal, Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama 5 syarikat PSH dan 4 syarikat non PSH telah diadakan di Garden Grand Ballroom, Marriott Hotel Putrajaya.

Tuan Haji Tauran Zaidi bin Ahmad Zaidi, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Kejuruteraan, KKM telah melancarkan BEMS Competency Handbook & menyampaikan Sijil Kompetensi kepada syarikat yang terlibat. Radicare diwakili oleh Ketua Pegawai Operasi, Encik Hidaya bin Yahaya telah menerima 330 Sjil Kompetensi untuk kakitangan Radibems Sdn Bhd pada hari tersebut.

Tujuan majlis ini diadakan adalah bagi memperkenalkan Handbook on Competency in BEMS (Biomedical Engineering Maintenance Services) yang telah dihasilkan oleh ahli-ahli di dalam Biomedical Engineering National Committee (BENC) terdiri daripada wakil-wakil Syarikat Konsesi dan diketuai oleh Ir. Dr. Syed Mustafa Kamal. Handbook tersebut merupakan satu garis panduan bagi pelaksanaan kompetensi di dalam aktiviti penyelenggaraan peralatan perubatan di fasiliti-fasiliti KKM. Elemen kompetensi ini merupakan keperluan yang telah digariskan di dalam perjanjian konsesi di antara KKM dan syarikat konsesi bagi perkhidmatan BEMS.

Di samping itu, sesi ini juga diadakan untuk menyampaikan sijil kompetensi bagi calon-calon yang telah dinilai kompetensi melalui program Grandfathering of biomedical technical personnel (BTP) yang telah diadakan buat julung kalinya bermula daripada tahun 2017.

Pelaksanaan kompetensi ini diharap dapat meningkatkan standard professionalism dan kualiti penyampaian perkhidmatan BEMS seterusnya memastikan pematuhan ke atas standard dan kualiti keselamatan di dalam penggunaan peralatan perubatan. Selain itu, kita juga ingin memberi pengiktirafan kompetensi kepada individu-individu khususnya yang mempunyai kepakaran yang tinggi di dalam penyelenggaraan peralatan perubatan.