Korban Perdana Radicare 2025
Eratkan Silaturrahim dan Semangat Keinsanan
Korban Perdana Radicare 2025
Eratkan Silaturrahim dan Semangat Keinsanan
Sempena sambutan Aidiladha, Radicare telah menganjurkan Korban Perdana 2025 buat julung kalinya. Program ini berlangsung pada 13 Zulhijjah 1446H bersamaan bulan Jun 2025 bertempat di fasiliti Clinwaste (M) Sdn Bhd, Teluk Panglima Garang. Inisiatif ini mencerminkan komitmen Radicare dalam menyemarakkan semangat ibadah, keprihatinan sosial dan nilai murni dalam kalangan warga kerja.
Sebanyak lima (5) ekor lembu telah dikorbankan dalam program kali ini. Aktiviti melapah, menimbang dan memotong daging korban untuk diagihkan dijalankan secara bergotong-royong. Seramai 35 orang peserta korban termasuk barisan Pengurusan Tertinggi Syarikat turut serta bersama beberapa kakitangan Radicare dan anak Syarikat (Radistars) yang hadir sebagai sukarelawan dalam Korban Perdana ini.
Bagi menyemarakkan lagi semangat kebersamaan, turut diadakan gotong-royong memasak juadah makan tengah hari dengan menu utama iaitu sup daging korban. Hidangan ini dinikmati bersama dalam suasana penuh mesra dan kekeluargaan, mencerminkan nilai ukhuwah Islamiah yang menjadi asas kepada ibadah korban itu sendiri.
Sebahagian daripada daging korban, iaitu 1/3 diagihkan kepada golongan asnaf sebagaimana dituntut oleh syariat Islam. Dalam majlis ringkas tetapi bermakna, tiga buah masjid iaitu Masjid Jamiatul Islamiah, Kampung Medan, Masjid Al-Hidayah, Teluk Panglima Garang dan Masjid Jami’ul Ehsani, Kampung Sijangkang telah hadir menerima daging korban untuk diagihkan kepada asnaf-asnaf. Penyerahan disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Ahamd Rahimi Abdul Samad diiringi oleh En. Hidaya Yahaya, Ketua Pegawai Eksekutif Radicare.
Melalui penganjuran program seperti ini, Radicare bukan sahaja melaksanakan tuntutan agama, malah turut memperkukuh hubungan baik antara kakitangan dan komuniti setempat. Insya-Allah, inisiatif seumpama ini akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang sebagai platform efektif untuk mempererat silaturrahim, menyemai nilai-nilai murni seperti keikhlasan, kerjasama serta membudayakan semangat prihatin dan tanggungjawab sosial dalam kalangan warga kerja.