Pada 21hb Oktober 2015, Majlis Pelancaran Pengurusan Tenaga KKM telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Dr. Noor Hisham Bin Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan KKM. Majlis ini melibatkan 5 syarikat konsesi Perkhidmatan Sokongan Hospital iaitu Radicare (M) Sdn Bhd, Faber Medi-Serve Sdn Bhd (kini dikenali sebagai Edgenta Mediserve Sdn Bhd), Medivest Sdn Bhd, One Medicare Sdn Bhd dan Sedafiat Sdn Bhd.

Di bawah perjanjian konsesi baru, Radicare (M) Sdn Bhd perlu menjalankan program kelestarian (Subtainability Programme) di hospital-hospital yang terdiri daripada tiga (3) komponen; Pengurusan Tenaga, Kualiti Udara Dalaman dan Program 3R.

Program 3R
Program 3R terdiri daripada pengasingan sisa pepejal yang boleh dikitar semula seperti botol plastik, tin aluminium, kotak, kertas dan lain-lain. Pengguna iaitu pihak hospital bertanggungjawab mengasingkan sisa pepejal yang boleh dikitar semula dan meletakkannya di tong-tong kitar semula yang disediakan oleh Radicare. Pihak Radicare akan menjalankan kutipan dan menjual barangan kitar semula tersebut mengikut jadual yang telah ditetapkan. Selain itu, pihak Radicare juga akan menjalankan program kesedaran di hospital untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman pengguna mengenai kitar semula.

Kualiti Udara Dalaman (IAQ)
Kualiti udara dalaman (IAQ) yang baik diperlukan bagi persekitaran kerja dalaman yang sihat. Kualiti udara dalaman yang kurang baik boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan jengka pendek dan jangka panjang. Masalah kesihatan yang biasanya dikaitkan dengan IAQ kurang baik termasuk tindak balas alahan, masalah pernafasan, kerengsaan mata, sinusitis, bronkitis dan pneumonia. Masalah IAQ berlaku dalam bangunan yang dilengkapi sistem pengalihudaraan mekanikal dan penyaman udara (MVAC) termasuk unit pendingin udara pisah. Masalah IAQ boleh disebabkan oleh bahan cemar udara dalaman atau pengalihudaraan yang tidak mencukupi. Pelan tindakan Prpgram AIQ telah dijadualkan bermula tahun 2015 dan akan selesai pada 2016.

Pengurusan Tenaga
Pengurusan Tenaga adalah penyelarasan proaktif, teratur dan sistematik perolehan, penukaran, pengedaran dan penggunaan tenaga untuk memenuhi keperluan, dengan mengambil kira objektif alam sekitar dan ekonomi. Pengurusan Tenaga melibatkan penggunaan tenaga secara cekap. Kebolehan menggunakan tenaga secara cekap tanpa mengurangkan tahap keselesaaan, keselamatan dan keperluan pada tahap sewajarnya diambil kira dalam perlaksanaan kecekapan tenaga.