Majlis Penyerahan Zakat Korporat 2016, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) - Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2016 telah diadakan pada 20hb Disember 2016 bertempat di Dorsett Putrajaya. Antara yang hadir pada majlis ini ialah YB Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Pengerusi MAIWP, Datuk Che Mat Che Ali selaku Pengerusi PPZ, wakil-wakil dari PPZ, wakil-wakil dari MAIWP dan juga wakil dari 19 buah syarikat korporat yang terlibat dengan penyerahan zakat perniagaan 2016. Zakat perniagaan yang berjumlah RM24.8 juta telah diserahkan kepada Pengerusi MAIWP oleh 19 buah syarikat korporat ini dan Radicare yang diwakili oleh Puan Hajah Faridah Hanum binti Abdul Ghafar selaku Pengurus Besar, Perkhidmatan Kewangan Kumpulan telah menyerahkan zakat berjumlah RM1,106,240.00 kepada PPZ-MAIWP. Antara syarikat lain yang terlibat adalah Kumpulan UEM, Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Berhad dan Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia Berhad.